Ahad, 30 Oktober 2011

Tentang usia mudamu...untuk apa ia dihabiskan?

Pemuda adalah golongan pelapis tampok pemerintahan sebuah negara. Pemuda juga menjadi kayu ukur bagi keutuhan pemerintahan sesebuah negara. Jika ramai golongan mudanya rosak maka lemahlah kepimpinan negara tersebut ibarat retak menanti belah. Islam amat menitik beratkan tentang usia muda dan golongan muda iaitu usia awal remaja hingga usia belia. Antara hadis yang dapat diambil untuk pengajaran ialah:

Rasulullah S.A.W bersabda dalam hadits Abdullah bin Mas’ud R.A, “Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. (HR. At-Tirmizi).


Hadis di atas amat jelas menunjukkan bahawa usia muda ialah satu nikmat yang besar dan diminta pertanggungjawaban ke atasnya. Oleh itu wajib bagi setiap muslimin mengetahui peranan dan tanggungjawabnya ketika di usia muda dan memanfaatkannya mengikut syariat Islam.

Berpandukan dalil ini, saya berasa terpanggil untuk bersama sahabat-sahabat seperjuangan menyebarkan syiar-syiar agama melalui penulisan blog. Dalam usia 23 tahun saya berasa kurang berharga jika usia semuda ini tidak dimanfaatkan sesuai dengan syariat agama Allah. Jika kita kaji sejarah Islam, ramai pemuda-pemuda yang berjiwa kental berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi bersama-sama pemimpin pada masa itu. Sebagai contoh Saidina Ali R.A. seawal usia 10 tahun telah memeluk Islam dan berani berpidato menentang golongan Musyrikin sehingga mendapat gelaran Karamallahu Wajhah kerana keengganannya menyembah berhala. Begitu juga dengan Muhammad Al-Fateh yang telah dilantik untuk mengetuai peperangan ketika berusia 23 tahun meluaskan empayar Islam di Turki. Berpuluh-puluh ribu lagi pemuda-pemuda seperti mereka telah berkorban jiwa dan raga dengan hanya bermodalkan kalimah La Ilaha Illalah, Muhammada Rasulullah sehingga ada yang syahid di usia belasan tahun lagi. Bagi mereka balasan syurga adalah ganjaran yang lebih baik daripada  habuan dunia semata-mata.

Amar Makruf Nahi Mungkar. Itu juga menjadi prinsip dalam diri insan yang berjuang semata-mata kerana Allah. Populariti, pengiktirafan, dan seumpamanya bukan lagi tujuan dalam hidupnya. Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah. Bagi saya walaupun ilmu itu sedikit jika dimanfaatkan ia tetap akan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya. Yang utama ialah keikhlasan dalam mencari jalan yang diredhai Allah. Keikhlasan adalah ruh-ruh yang menghidupkan kerangka-kerangka amal seorang hamba. Tanpa keikhlasan  tiadalah amal, yang tinggal hanyalah riak, ta'jub, takbur, dan seumpamanya. Walaubagaimanapun, saya sedar saya tidak sehebat Saidina Ali R.A. atau segagah Muhammad Al-Fateh, dan bukan niat saya mencari gelaran seperti ustaz atau orang alim, saya berharap usaha-usaha yang kecil-kecil ini diberkati Allah dan dikuatkan semangat saya dalam menyebarkan syiar-syiar-Nya hingga ke akhir hayat. Semoga nukilan-nukilan yang sedikit-sedikit ini menjadi bekalan untuk melepasi ujian-ujian besar di akhirat kelak. Ayuh!!! sama-sama kita usahakan usia muda untuk kebaikan kita di akhirat kelak. Wallahua'lam.

"Fikirkanlah sesuatu kebaikan yang boleh kamu sumbangkan sekarang (di dunia), supaya esok (di akhirat) kamu memperolehi kebaikannya pula"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan