Sabtu, 5 November 2011

Panduan Mencapai Cita-cita

Meminjam kata-kata seorang sahabat:


"Kejayaan bukan satu destinasi, tetapi ia adalah satu perjalanan yang panjang, perjalanan tanpa penghujung. Semakin jauh kita berjalan semakin bagus (fikiran) kita akan jadi".

Kehidupan adalah suatu perjalanan yang jauh dan berliku-liku. Sesungguhnya setiap orang mempunyai matlamat dan ingin berjaya dalam kehidupannya. Samada dia orang baik atau orang jahat, orang kaya atau orang miskin, orang yang sihat atau orang yang sakit, apa yang yang tergambar di fikirannya adalah apa yang dia ingin kecapi. Sejak bangun dari tidur hinggalah kembali masuk tidur, kita memikirkan tentang apa yang kita hajati, apa yang belum lagi kita perolehi, dan apa yang dapat membahagiakan kita.

Namun, ada juga yang memikirkan tentang nasib malang selepas kegagalan demi kegagalan menimpa diri sehingga berputus asa dari usaha, menyalahkan orang lain sebagai punca masalah, malah ada yang sanggup untuk membunuh diri. Ada juga yang mendakwa kehidupan ini tidak adil dan menuduh takdirlah yang menyebabkan sesuatu maksiat itu dengan rela dilakukan seperti zina, buang bayi, dan berbagai lagi. Fenomena ini sering terjadi dikalangan remaja dan pemuda masa kini. Ianya berpunca dari pegangan akidah yang goyah, emosi yang bermasalah dan jiwa yang konflik.

Jika kita mengalami fenomena yang sama seperti di atas, mari sama-sama betulkan tanggapan kita selama ini. Tanggapan bahawa hidup kita bergantung semata-semata kepada takdir adalah salah. Begitu juga, tanggapan bahawa kita tidak upaya untuk membuat pilihan hidup adalah salah. Untuk berjaya mencapai apa yang kita inginkan, kita memerlukan prinsip yang betul sebagai pandu arah perjalanan menuju cita-cita. Pegangan pada prinsip yang betul menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Prinsip ini dikenali sebagai Ta'luk Kudrah dan Iradah Allah Ta'ala. Prinsip ini menuntut supaya kita meyakini akan wujudnya takdir (ketentuan-ketentuan) dan tadbir (usaha-usaha mencapai cita-cita).

(sumber diolah dan dipetik dari buku Pendidikan Tauhid Darjah Enam, Jabatan Agama Johor)


Yakini Kekuasaan Allah, Fahami Kebebasan diri.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah S.A.W supaya menyebarkan prinsip-prinsip berikut kepada umat manusia yang mesti diakui dengan iman yang mantap, tanpa ragu-ragu tentang kekuasaan Allah Ta’ala:
  1. Allah Ta’ala Maha Menguasai seluruh alam.
  2. Allah Ta’ala berhak mengurniakan kerajaan dan kekuasaan memerintah kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan berhak mencabut kerajaan dan kekuasaan itu semula.
  3. Allah Ta’ala berhak memuliakan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan merendahkan martabatnya menjadi orang yang hina.
  4. Di dalam genggaman-Nya segala kebaikan dan keburukan.
  5. Allah Ta’ala yang menentukan sistem pertukaran waktu siang dan malam.
  6. Allah Ta’ala berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup.
  7. Allah Ta’ala berkuasa melimpahkan rezeki sebanyak-banyaknya.
Manusia mempunyai hati dan akal. Hati sebagai raja yang mempunyai keinginan dan kemahuan dan menetukan matlamat dalam hidup. Akal sebagai perdana menteri yang menasihati raja. Akal bertanggungjawab berfikir dan menilai benar dan salah atau baik dan buruk, mengarahkan anggota badan untuk bertindak dan mengawal naluri (emosi) daripada gejala buruk atau maksiat yang boleh mempengaruhi hati.

Dengan potensi hati dan akal tersebut dapatlah difahami bahawa manusia bebas memilih dan menentukan kehendaknya, menilai yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, melakukan kerja ibadat atau maksiat. Maka dengan kebebasan itu manusia dapat mengarahkan daya usaha dan kekuatannya menurut kehendak hati dan panduan akalnya samada hendak mengikut petunjuk Allah Ta’ala atau sebaliknya. Jelasnya manusia diberi kebebasan mentadbir dirinya dan kehidupannya samada mahu maju atau membeku mundur, samada memperbaiki nasib diri atau berserah kepada takdir tanpa usaha. Firman Allah Ta’ala yang ertinya:

“Sesungguhnya telah kami tunjukkan kepadanya akan jalan (yang benar dan yang salah, maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat) atau pun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)” (Surah al-Insan:3)

Berdasarkan ayat tersebut:
  1. Kita wajib sedar bahawa segala sesuatu itu timbul daripada diri kita sendiri.
  2. Kita wajib mengakui bahawa segala amal yang kita lakukan dengan kemahuan dan kehendak kita sendiri mengikut pilihan hati.
  3. Kita dapat melakukan segala macam perbuatan, benar atau salah, baik atau buruk, bermanafaat atau mudharat, terpuji atau keji.
  4. Jika kita melakukan kerja yang benar dan yang baik, bermanafaat atau terpuji kita akan diberi balasan baik atau pahala yang setimpal oleh Allah Ta’ala, begitu pula sebaliknya.
  5. Kita mempunyai kebebasan untuk memilih kerana kita akan menerima pahala atau dosa sebagai akibat daripada perbuatan kita sendiri.
  6. Oleh itu, akhirnya ada dua kelompok manusia, iaitu yang beriman atau yang syirik, yang Islam atau yang kafir, yang taat atau yang derhaka, yang benar atau yang salah, yang baik atau yang jahat, yang mulia atau yang hina yang diberi pahala atau yang berdosa dan seterusnya yang ke syurga atau yang ke neraka.
Fahami antara kehendak Allah dan kehendak manusia.

Kehendak manusia hanya akan tercapai apabila kehendak itu mengikut salah satu jalan yang ditunjukkan Allah Ta’ala iaitu hidayah atau sesat. Namun begitu, Allah Ta’ala tetap berkehendak supaya manusia memilih salah satu daripada dua jalan tersebut. Andainya manusia memilih jalan hidayah, maka pilihan itu tetap termasuk dalam lingkungan kehendak Allah Ta’ala. Andainya pula ia memilih jalan sesat, maka pilihan itu juga termasuk dalam lingkungan kehendak Allah Ta’ala. Hanya yang menentukan pilihan itu adalah manusia sendiri yang telah diberi kebebasan untuk memilih. Oleh itu, ia bertanggungjawab atas pilihannya. Firman Allah Ta’ala yang ertinya:

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri, dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya”. (Surah Fusilat: 46)

Hayati antara takdir dan tadbir.

Ta’luk Kudrah dan Iradah Allah Ta’ala telah menyediakan kerangka nasib setiap orang pada Luh Mahfuz.
  1. Ketentuan Suluhi Qodim: Pada peringkat ini Allah Ta’ala hanya mewajarkan nasib setiap orang, tentang umurnya, rezekinya, dan segala hal yang berhubung dengan dirinya seperti baik, jahat, pandai, bodoh, kaya dan miskin dari sejak ditiupkan ruh sehingga mati. Ketentuan ini belum dipastikan lagi.
  2. Ketentuan Tanjizi Qodim: Pada peringkat ini Allah Ta’ala telah menentukan nasib setiap orang tentang umurnya, rezekinya, dan segala hal yang berhubung dengan dirinya.
  3. Ketentuan Qobdhah: Pada peringkat ini Allah Ta’ala berhak untuk meluluskan mana-mana ketentuan yang telah di tetapkan atau sebaliknya. Dalam melaksanakan ketentuan ini Allah Ta’ala melihat dan menilai akan tahap usaha dan doa’ manusia, tahap ketaatan dan kederhakaan dalam mengurus dan mentadbir kemahuan dan kehidupannya, samada menurut jalan yang benar (hidayah) atau jalan yang sesat.
  4. Ketentuan Tanjizi Hadith: Pada peringkat ini Allah Ta’ala menetapkan dan melaksanakan nasib terakhir setiap orang setelah Allah Ta’ala melihat dan menilai tahap usaha, tahap ketaatan dan permohonan yang ikhlas kepada-Nya.

Berpandukan prinsip Ta’luk Kudrah dan Iradah Allah Ta’ala, dapatlah dirumuskan bahawa;
  1. Nasib manusia bukan sahaja tertakluk pada takdir, tetapi juga pada tadbir (usaha dan doa’ manusia).
  2. Nasib manusia boleh berubah dengn kehendak Allah Ta’ala, daripada buruk kepada baik, sakit kepada sihat, daripada susah kepada senang dan sebagainya. Semuanya dalam Qobdhah Allah Ta’ala.
  3. Setiap orang hendaklah berusaha dan berdoa’ serta bertawakal kepada Allah Ta’ala mengikut lunas-lunas hidayah dan menjauhi maksiat untuk mencapai cita-cita atau kemahuan, kemajuan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
  4. Sikap berserah pada takdir tanpa usaha dan ikhtiar serta doa’ merupakan sikap yang bertentangan dengan Islam dan akidah yang tulen, iaitu akidah Ahli Sunnah Waljama’ah.
Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan