Ahad, 27 November 2011

Apa Yang Dicari Dalam Hidup Kamu?


Sumber: Buku Pendidikan Tauhid Darjah 5, Jabatan Agama Islam Johor



Apabila ditanya soalan seperti di atas pastinya setiap orang akan menjawab bahawa dia mahu cari kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Untuk mencapai kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kita memerlukan usaha dan ikhtiar iaitu dengan kuat beribadat dan berkerja. Namun, seringkali kita putus asa dan tidak mampu untuk melaksanakan usaha dan ikhtiar tersebut setelah gagal mencapai apa yang kita cari. Hal ini kerana kita gagal menyedari hakikat sebenar apa yang tersirat disebalik usaha dan kebahagiaan yang kita cari.

Hakikat tersebut ialah keyakinan kepada Allah dan janji-janji Allah. Apabila kita menyedari hakikat ini, seluruh kehidupan kita sebenarnya bergantung hanya kepada kurniaan Allah, bukan semata-mata kepada usaha kita dan kesenangan yang kita cari. Ini bermakna setiap yang kita lalui dalam hidup kita ialah kurniaan dari Allah termasuklah usaha dan kesenangan yang kita cari.

Namun, bukan bererti kita tidak perlu berusaha dan berharap akan kurniaan Allah. Tetapi kita diberi pilihan untuk berusaha dan yakin usaha tersebut datangnya dari Allah. Justeru, sekalipun usaha tersebut membuahkan kegagalan, kita yakin ia adalah kurniaan dari Allah yang penuh dengan hikmah. Inilah yang dipanggil usaha yang berpegang kepada prinsip Akidah Islam. Fahamilah Akidah Islam demi menyedari hakikat disebalik usaha dan kebahagiaan yang berkekalan.

Pengertian Akidah Islam

Akidah dari segi bahasa bererti ikatan atau simpulan maknawi (bukan hissi) yang khusus bagi keyakinan atau kepercayaan.

Akidah Islamiah ialah ikatan keimanan kepada hakikat yang mutlak yang menjadi rukun iman yang tetap dan kekal yang tersimpul dengan kukuh dalam jiwa yang tidak akan terlerai atau terputus dalam apa jua keadaan dan pada bila-bila masa berdasarkan ajaran Islam.

Keyakinan kepada Allah teras Akidah Islamiah

Keyakinan dan kepercayaan yang benar dan jati, jitu dan padu, mantap, tidak goyah dan tidak berbelah bagi terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadi teras akidah Islamiah. Keyakinan ini tumbuh dan subur di dalam hati, menggerakkan akal untuk berfikir dan memandu tubuh badan untuk melakukan ibadah atau kerja mengikut syariat yang di tentukan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Itulah keyakinan yang benar yang menjadi prinsip atau penggerak ke arah mencapai kesenangan atau kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Ciri-ciri keyakinan dan maksudnya:
  •  Keyakinan yang benar dan jati ialah keyakinan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah.
  • Keyakinan yang jitu dan padu ialah keyakinan yang tetap, lengkap, dan sempurna.
  • Keyakinan yang mantap ialah keyakinan yang Jazam  dan Qati’ (kukuh dan istiqamah).
  •  Keyakinan yang tidak goyah ialah keyakinan yang tidak longgar atau goncang, tidak terpengaruh kepada kepercayaan lain.
  •  Keyakinan yang tidak berbelah bahagi ialah keyakinan hanya kepada Allah yang Maha Esa yang menjadi tempat bergantung tiap sesuatu dan Dia tidak dilahirkan dan tidak melahirkan.

Firman Allah yang bererti:

“Katakanlah (wahai Muhammad), (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa, Allah itu menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, (Allah) tidak beranak dan Dia (Allah) pula tidak diperanakkan, dan tidak sesiapa pun setara dengan-Nya”. Surah al-Ikhlas: 1- 4.

Antara Keyakinan dan Kejayaan

Kesenangan dan kebahagiaan tidak dapat dicapai dengan keyakinan yang tidak memenuhi ciri-cirinya atau hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja. Tetapi kesenangan dan kebahagiaan itu memerlukan ilmu dan amal soleh serta taufiq dan hidayah daripada Allah Ta’ala. Dengan kata-kata lain keyakinan kepada Allah Ta’ala akan membawa kejayaan dalam hidup manusia apabila keyakinan itu:
  • tumbuh di dalam hati dengan hidayah daripada Allah Ta’ala.
  •  subur dengan ilmu dan amal soleh.
  •  membawa kesenangan atau kebahagiaan dengan taufiq daripada Allah Ta’ala.

Oleh yang demikian, hidayah hendaklah dipohon selalu daripada Allah Ta’ala, ilmu mesti dicari, di tingkatkan dan diamalkan, amal soleh hendaklah dilakukan dengan betul dan sempurna mengikut syariat Allah berpandukan al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Akidah Adalah Bai’ah (ikatan janji).

Apabila ciri-ciri akidah itu diakui dan diterima dengan kerelaan hati dan diimani, maka keimanan itu merupakan suatu bai’ah, iaitu sesuatu ikatan janji setia atau sumpah setia dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kalimah yang menjadi pernyataan kepada bai’ah itu ialah dua kalimah syahadah. Tuntutan syahadah itu mesti dipenuhi oleh setiap orang yang mengucapkannya:
  •  Mengiktiraf keesaan Allah dengan segala sifat kesempurnaan.
  • Berikrar dengan rela, tegas dan jelas.
  • Mengetahui dan memahami seluruh kandungan ikrar yang diucapkan.
  • Membuktikan ketaatan dan kesetiaan kepada Allah.
  • Berpegang dengan I’tikad yang jazam (tidak goyah).

Setiap orang yang berpegang pada akidah tauhid diwajibkan memperbaharui bai’ahnya setiap hari iaitu dalam solat ketika membaca tasyahud. Jelasnya, solat merupakan amalan fardhu bagi mengukuhkan bai’ah dan menyuburkan iman.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah menolak kepercayaan jahiliyah semata-mata kerana mengiktiraf keesaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan telah mengikrarkannya dengan penuh rela, tegas dan jelas. Mereka mengetahui, memahami dan menghayati kandungan bai’ah tersebut. Mereka sanggup berhijrah bagi mempertahankan bai’ah tersebut dan mereka berjuang dan berkorban jiwa dan harta benda bagi membuktikan ketaatan dan kesetiaan kepada Allah Taala.

Orang yang mengucap dua kalimah syahadah adalah orang yang bera’kad dan berbai’ah seperti orang yang berjualbeli. Mereka menyerahkan diri dan hartanya untuk mendapatkan keredaan Allah Ta’ala disamping mengharapkan balasan syurga yang dijanjikan.
Firman Allah Ta’ala yang bererti:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurah, Injil,dan al-Quran, dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jalan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. Surah at-Taubah: 111

Di dalam ayat yang tersebut dijelaskan bahawa beriman dengan ciri-ciri akidah tauhid sebagai bai’ah untuk menjual diri dan harta kepada Allah dengan nilai syurga. Oleh itu orang yang berpegang pada akidah tauhid tidak akan rugi malahan mendapat keuntungan yang tidak terhingga apabila ia memenuhi tuntutan bai’ah tersebut, iaitu jihad:
  • Jihad fi Sabilillah iaitu jihad menentang musuh yang nyata.
  • Jihad fillah iaitu jihad menentang musuh yang ghaib atau batin iaitu jihadun-nafsi (jihad menentang hawa nafsu).

Antara akidah tauhid dan jihad terdapat satu lagi faktor utama untuk mencapai kejayaan dalam hidup di dunia dan di akhirat iaitu hijrah. Jelasnya ada dua perkara yang menjadi faktor ketahanan akidah iaitu hijrah dan jihad.
Firman Allah Ta’ala ertinya:

“Sesungguhnya orang-orang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan Rahmat Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. Surah al-Baqarah: 218

Sabda Rasulullah s.a.w ertinya:

“Orang berhijrah ialah orang yang meninggalkan segala bentuk kejahatan dan orang berjihad ialah orang yang memerangi hawa nafsunya”

(dipetik daripada Bidayatul Hidayah oleh Imam Al-Ghazali)

Sabtu, 5 November 2011

Panduan Mencapai Cita-cita

Meminjam kata-kata seorang sahabat:


"Kejayaan bukan satu destinasi, tetapi ia adalah satu perjalanan yang panjang, perjalanan tanpa penghujung. Semakin jauh kita berjalan semakin bagus (fikiran) kita akan jadi".

Kehidupan adalah suatu perjalanan yang jauh dan berliku-liku. Sesungguhnya setiap orang mempunyai matlamat dan ingin berjaya dalam kehidupannya. Samada dia orang baik atau orang jahat, orang kaya atau orang miskin, orang yang sihat atau orang yang sakit, apa yang yang tergambar di fikirannya adalah apa yang dia ingin kecapi. Sejak bangun dari tidur hinggalah kembali masuk tidur, kita memikirkan tentang apa yang kita hajati, apa yang belum lagi kita perolehi, dan apa yang dapat membahagiakan kita.

Namun, ada juga yang memikirkan tentang nasib malang selepas kegagalan demi kegagalan menimpa diri sehingga berputus asa dari usaha, menyalahkan orang lain sebagai punca masalah, malah ada yang sanggup untuk membunuh diri. Ada juga yang mendakwa kehidupan ini tidak adil dan menuduh takdirlah yang menyebabkan sesuatu maksiat itu dengan rela dilakukan seperti zina, buang bayi, dan berbagai lagi. Fenomena ini sering terjadi dikalangan remaja dan pemuda masa kini. Ianya berpunca dari pegangan akidah yang goyah, emosi yang bermasalah dan jiwa yang konflik.

Jika kita mengalami fenomena yang sama seperti di atas, mari sama-sama betulkan tanggapan kita selama ini. Tanggapan bahawa hidup kita bergantung semata-semata kepada takdir adalah salah. Begitu juga, tanggapan bahawa kita tidak upaya untuk membuat pilihan hidup adalah salah. Untuk berjaya mencapai apa yang kita inginkan, kita memerlukan prinsip yang betul sebagai pandu arah perjalanan menuju cita-cita. Pegangan pada prinsip yang betul menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Prinsip ini dikenali sebagai Ta'luk Kudrah dan Iradah Allah Ta'ala. Prinsip ini menuntut supaya kita meyakini akan wujudnya takdir (ketentuan-ketentuan) dan tadbir (usaha-usaha mencapai cita-cita).

(sumber diolah dan dipetik dari buku Pendidikan Tauhid Darjah Enam, Jabatan Agama Johor)


Yakini Kekuasaan Allah, Fahami Kebebasan diri.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah S.A.W supaya menyebarkan prinsip-prinsip berikut kepada umat manusia yang mesti diakui dengan iman yang mantap, tanpa ragu-ragu tentang kekuasaan Allah Ta’ala:
  1. Allah Ta’ala Maha Menguasai seluruh alam.
  2. Allah Ta’ala berhak mengurniakan kerajaan dan kekuasaan memerintah kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan berhak mencabut kerajaan dan kekuasaan itu semula.
  3. Allah Ta’ala berhak memuliakan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan merendahkan martabatnya menjadi orang yang hina.
  4. Di dalam genggaman-Nya segala kebaikan dan keburukan.
  5. Allah Ta’ala yang menentukan sistem pertukaran waktu siang dan malam.
  6. Allah Ta’ala berkuasa menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup.
  7. Allah Ta’ala berkuasa melimpahkan rezeki sebanyak-banyaknya.
Manusia mempunyai hati dan akal. Hati sebagai raja yang mempunyai keinginan dan kemahuan dan menetukan matlamat dalam hidup. Akal sebagai perdana menteri yang menasihati raja. Akal bertanggungjawab berfikir dan menilai benar dan salah atau baik dan buruk, mengarahkan anggota badan untuk bertindak dan mengawal naluri (emosi) daripada gejala buruk atau maksiat yang boleh mempengaruhi hati.

Dengan potensi hati dan akal tersebut dapatlah difahami bahawa manusia bebas memilih dan menentukan kehendaknya, menilai yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, melakukan kerja ibadat atau maksiat. Maka dengan kebebasan itu manusia dapat mengarahkan daya usaha dan kekuatannya menurut kehendak hati dan panduan akalnya samada hendak mengikut petunjuk Allah Ta’ala atau sebaliknya. Jelasnya manusia diberi kebebasan mentadbir dirinya dan kehidupannya samada mahu maju atau membeku mundur, samada memperbaiki nasib diri atau berserah kepada takdir tanpa usaha. Firman Allah Ta’ala yang ertinya:

“Sesungguhnya telah kami tunjukkan kepadanya akan jalan (yang benar dan yang salah, maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat) atau pun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)” (Surah al-Insan:3)

Berdasarkan ayat tersebut:
  1. Kita wajib sedar bahawa segala sesuatu itu timbul daripada diri kita sendiri.
  2. Kita wajib mengakui bahawa segala amal yang kita lakukan dengan kemahuan dan kehendak kita sendiri mengikut pilihan hati.
  3. Kita dapat melakukan segala macam perbuatan, benar atau salah, baik atau buruk, bermanafaat atau mudharat, terpuji atau keji.
  4. Jika kita melakukan kerja yang benar dan yang baik, bermanafaat atau terpuji kita akan diberi balasan baik atau pahala yang setimpal oleh Allah Ta’ala, begitu pula sebaliknya.
  5. Kita mempunyai kebebasan untuk memilih kerana kita akan menerima pahala atau dosa sebagai akibat daripada perbuatan kita sendiri.
  6. Oleh itu, akhirnya ada dua kelompok manusia, iaitu yang beriman atau yang syirik, yang Islam atau yang kafir, yang taat atau yang derhaka, yang benar atau yang salah, yang baik atau yang jahat, yang mulia atau yang hina yang diberi pahala atau yang berdosa dan seterusnya yang ke syurga atau yang ke neraka.
Fahami antara kehendak Allah dan kehendak manusia.

Kehendak manusia hanya akan tercapai apabila kehendak itu mengikut salah satu jalan yang ditunjukkan Allah Ta’ala iaitu hidayah atau sesat. Namun begitu, Allah Ta’ala tetap berkehendak supaya manusia memilih salah satu daripada dua jalan tersebut. Andainya manusia memilih jalan hidayah, maka pilihan itu tetap termasuk dalam lingkungan kehendak Allah Ta’ala. Andainya pula ia memilih jalan sesat, maka pilihan itu juga termasuk dalam lingkungan kehendak Allah Ta’ala. Hanya yang menentukan pilihan itu adalah manusia sendiri yang telah diberi kebebasan untuk memilih. Oleh itu, ia bertanggungjawab atas pilihannya. Firman Allah Ta’ala yang ertinya:

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan kembali kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri, dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya”. (Surah Fusilat: 46)

Hayati antara takdir dan tadbir.

Ta’luk Kudrah dan Iradah Allah Ta’ala telah menyediakan kerangka nasib setiap orang pada Luh Mahfuz.
  1. Ketentuan Suluhi Qodim: Pada peringkat ini Allah Ta’ala hanya mewajarkan nasib setiap orang, tentang umurnya, rezekinya, dan segala hal yang berhubung dengan dirinya seperti baik, jahat, pandai, bodoh, kaya dan miskin dari sejak ditiupkan ruh sehingga mati. Ketentuan ini belum dipastikan lagi.
  2. Ketentuan Tanjizi Qodim: Pada peringkat ini Allah Ta’ala telah menentukan nasib setiap orang tentang umurnya, rezekinya, dan segala hal yang berhubung dengan dirinya.
  3. Ketentuan Qobdhah: Pada peringkat ini Allah Ta’ala berhak untuk meluluskan mana-mana ketentuan yang telah di tetapkan atau sebaliknya. Dalam melaksanakan ketentuan ini Allah Ta’ala melihat dan menilai akan tahap usaha dan doa’ manusia, tahap ketaatan dan kederhakaan dalam mengurus dan mentadbir kemahuan dan kehidupannya, samada menurut jalan yang benar (hidayah) atau jalan yang sesat.
  4. Ketentuan Tanjizi Hadith: Pada peringkat ini Allah Ta’ala menetapkan dan melaksanakan nasib terakhir setiap orang setelah Allah Ta’ala melihat dan menilai tahap usaha, tahap ketaatan dan permohonan yang ikhlas kepada-Nya.

Berpandukan prinsip Ta’luk Kudrah dan Iradah Allah Ta’ala, dapatlah dirumuskan bahawa;
  1. Nasib manusia bukan sahaja tertakluk pada takdir, tetapi juga pada tadbir (usaha dan doa’ manusia).
  2. Nasib manusia boleh berubah dengn kehendak Allah Ta’ala, daripada buruk kepada baik, sakit kepada sihat, daripada susah kepada senang dan sebagainya. Semuanya dalam Qobdhah Allah Ta’ala.
  3. Setiap orang hendaklah berusaha dan berdoa’ serta bertawakal kepada Allah Ta’ala mengikut lunas-lunas hidayah dan menjauhi maksiat untuk mencapai cita-cita atau kemahuan, kemajuan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
  4. Sikap berserah pada takdir tanpa usaha dan ikhtiar serta doa’ merupakan sikap yang bertentangan dengan Islam dan akidah yang tulen, iaitu akidah Ahli Sunnah Waljama’ah.
Wallahua’lam.