Bismillahirrahamanirrahim..Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat Islam dan Iman kepada kita.
Tazkirah ini bertujuan mengingatkan diri saya sendiri dan pembaca supaya terus berusaha mencari keredaan Allah dalam setiap apa sahaja yang kita lakukan hari demi hari.
(sumber dipetik & diolah dari buku: Rahsia Solat Khusyuk)
1. Mulakan hari dengan al-basmalah (bismillah...)
Sebaik-baik pekerjaan ialah pekerjaan yang dimulakan dengan bacaan al-basmalah. Dengan membaca basmalah, kita memulakan hari kita, pekerjaan kita dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Maka pekerjaan kita dikira suatu ibadah dan mendapat ganjaran pahala disisi Allah. Walau bagaimanapun, pekerjaan tersebut mestilah pekerjaan yang halal dan bersih disisi syariat.
2. Jadikan zikrullah sebagai santapan rohani.
Sebaik-baik pekerjaan yang menguntungkan ialah zikrullah. Zikrullah menenangkan fikiran dan emosi dari gangguan hal-hal dunia dan godaan syaitan laknatullah. Rasulullah s.a.w menganjurkan para sahabat supaya berzikir setiap hari kerana ia dapat memelihara hati dari penyakit yang sukar dikesan. Antara zikir tersebut ialah Takbir, Tahmid, Tasyahud, Tahlil, Selawat, Istirgfar dan Ta'awuz.
3. Doa sebagai memohon hajat.
Doa ialah perisai bagi orang-orang muslim. Rasulullah s.a.w mengajar umatnya dengan doa-doa harian sejak bangkit dari tidur, memulakan pekerjaan, hinggalah masuk tidur. Doa-doa tersebut sunat diamalkan dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Allah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya supaya memohon doa jika mempunyai hajat, nescaya Allah makbulkan.
4. Mendalami al-Quraan suatu kewajiban.
Al-Quran adalah sumber perundangan Islam yang utama selain hadith, qias dan ijmak ulama'. Al-Quran juga menjadi panduan bagi hamba-hamba-Nya yang mencari jalan yang lurus (siratal mustaqim). Justeru, wajib bagi setiap orang muslim belajar, mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam hidup mereka.Allah berjanji akan memelihara orang-orang yang memelihara al-Quran iaitu yang mengamalkan dan menyebarkannya di atas muka bumi Allah dari malapetaka dan bencana hingga hari akhirat. Mereka adalah orang-orang mu'min yang berjaya.
5. Mendirikan solat dengan khusyuk.
Orang-orang mu'min yang berusaha memperbaiki amalannya pasti Allah akan buka dan tunjukkan jalan kepada mereka sampai mereka berjaya. Orang-orang yang memburu khusyuk dalam solatnya adalah mereka yang mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah. Solat yang khusyuk sahaja diterima oleh Allah. Orang-orang yang khusyuk dalam solat adalah meraka yang berjaya dan penghuni syurga yang hampir dengan Allah.
Syukur ialah nikmat yang Allah berikan di dalam hati hamba-hamba-Nya yang beriman. Namun kita disuruh supaya bersyukur di atas setiap pemberian yang Allah tetapkan untuk kita tanpa mengira nilainya di sisi manusia. Keadilan Allah sangat unik dan berbeza dengan keadialan di sisi manusia. Semoga dengan rasa syukur dan baik sangka kepada Allah, kita menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Wallahua'lam.
