Sumber: Buku Pendidikan Tauhid Darjah 5, Jabatan Agama Islam Johor
Apabila ditanya soalan seperti di
atas pastinya setiap orang akan menjawab bahawa dia mahu cari kesenangan dan
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Untuk mencapai kesenangan dan
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kita memerlukan usaha dan ikhtiar
iaitu dengan kuat beribadat dan berkerja. Namun, seringkali kita putus asa dan tidak
mampu untuk melaksanakan usaha dan ikhtiar tersebut setelah gagal mencapai apa
yang kita cari. Hal ini kerana kita gagal menyedari hakikat sebenar apa yang tersirat
disebalik usaha dan kebahagiaan yang kita cari.
Hakikat tersebut ialah keyakinan
kepada Allah dan janji-janji Allah. Apabila kita menyedari hakikat ini, seluruh
kehidupan kita sebenarnya bergantung hanya kepada kurniaan Allah, bukan
semata-mata kepada usaha kita dan kesenangan yang kita cari. Ini bermakna
setiap yang kita lalui dalam hidup kita ialah kurniaan dari Allah termasuklah
usaha dan kesenangan yang kita cari.
Namun, bukan bererti kita tidak
perlu berusaha dan berharap akan kurniaan Allah. Tetapi kita diberi pilihan
untuk berusaha dan yakin usaha tersebut datangnya dari Allah. Justeru, sekalipun
usaha tersebut membuahkan kegagalan, kita yakin ia adalah kurniaan dari Allah
yang penuh dengan hikmah. Inilah yang dipanggil usaha yang berpegang kepada
prinsip Akidah Islam. Fahamilah Akidah Islam demi menyedari hakikat disebalik
usaha dan kebahagiaan yang berkekalan.
Pengertian Akidah Islam
Akidah dari segi bahasa bererti ikatan atau simpulan maknawi
(bukan hissi) yang khusus bagi keyakinan atau kepercayaan.
Akidah Islamiah ialah ikatan keimanan kepada hakikat yang
mutlak yang menjadi rukun iman yang tetap dan kekal yang tersimpul dengan kukuh
dalam jiwa yang tidak akan terlerai atau terputus dalam apa jua keadaan dan
pada bila-bila masa berdasarkan ajaran Islam.
Keyakinan kepada Allah teras Akidah Islamiah
Keyakinan dan kepercayaan yang
benar dan jati, jitu dan padu, mantap, tidak goyah dan tidak berbelah bagi
terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadi teras akidah Islamiah. Keyakinan ini
tumbuh dan subur di dalam hati, menggerakkan akal untuk berfikir dan memandu
tubuh badan untuk melakukan ibadah atau kerja mengikut syariat yang di tentukan
oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Itulah keyakinan yang benar yang menjadi prinsip
atau penggerak ke arah mencapai kesenangan atau kebahagiaan di dunia dan di
akhirat.
Ciri-ciri keyakinan dan maksudnya:
- Keyakinan yang benar dan jati ialah keyakinan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah.
- Keyakinan yang jitu dan padu ialah keyakinan yang tetap, lengkap, dan sempurna.
- Keyakinan yang mantap ialah keyakinan yang Jazam dan Qati’ (kukuh dan istiqamah).
- Keyakinan yang tidak goyah ialah keyakinan yang tidak longgar atau goncang, tidak terpengaruh kepada kepercayaan lain.
- Keyakinan yang tidak berbelah bahagi ialah keyakinan hanya kepada Allah yang Maha Esa yang menjadi tempat bergantung tiap sesuatu dan Dia tidak dilahirkan dan tidak melahirkan.
Firman Allah yang bererti:
“Katakanlah (wahai
Muhammad), (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa, Allah itu menjadi tumpuan
sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, (Allah) tidak beranak dan Dia
(Allah) pula tidak diperanakkan, dan tidak sesiapa pun setara dengan-Nya”. Surah
al-Ikhlas: 1- 4.
Antara Keyakinan dan Kejayaan
Kesenangan dan kebahagiaan tidak
dapat dicapai dengan keyakinan yang tidak memenuhi ciri-cirinya atau hanya
dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja. Tetapi kesenangan dan kebahagiaan
itu memerlukan ilmu dan amal soleh serta taufiq dan hidayah
daripada Allah Ta’ala. Dengan kata-kata lain keyakinan kepada Allah Ta’ala akan
membawa kejayaan dalam hidup manusia apabila keyakinan itu:
- tumbuh di dalam hati dengan hidayah daripada Allah Ta’ala.
- subur dengan ilmu dan amal soleh.
- membawa kesenangan atau kebahagiaan dengan taufiq daripada Allah Ta’ala.
Oleh yang demikian, hidayah
hendaklah dipohon selalu daripada Allah Ta’ala, ilmu mesti dicari, di
tingkatkan dan diamalkan, amal soleh hendaklah dilakukan dengan betul dan
sempurna mengikut syariat Allah berpandukan al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Akidah Adalah Bai’ah (ikatan
janji).
Apabila ciri-ciri akidah itu
diakui dan diterima dengan kerelaan hati dan diimani, maka keimanan itu
merupakan suatu bai’ah, iaitu sesuatu ikatan janji setia atau sumpah setia
dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kalimah yang menjadi pernyataan kepada bai’ah
itu ialah dua kalimah syahadah. Tuntutan syahadah itu mesti dipenuhi oleh
setiap orang yang mengucapkannya:
- Mengiktiraf keesaan Allah dengan segala sifat kesempurnaan.
- Berikrar dengan rela, tegas dan jelas.
- Mengetahui dan memahami seluruh kandungan ikrar yang diucapkan.
- Membuktikan ketaatan dan kesetiaan kepada Allah.
- Berpegang dengan I’tikad yang jazam (tidak goyah).
Setiap orang yang berpegang pada
akidah tauhid diwajibkan memperbaharui bai’ahnya setiap hari iaitu dalam solat
ketika membaca tasyahud. Jelasnya, solat merupakan amalan fardhu bagi
mengukuhkan bai’ah dan menyuburkan iman.
Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat telah menolak kepercayaan jahiliyah semata-mata kerana mengiktiraf
keesaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan telah mengikrarkannya dengan penuh rela,
tegas dan jelas. Mereka mengetahui, memahami dan menghayati kandungan bai’ah
tersebut. Mereka sanggup berhijrah bagi mempertahankan bai’ah tersebut dan
mereka berjuang dan berkorban jiwa dan harta benda bagi membuktikan ketaatan
dan kesetiaan kepada Allah Taala.
Orang yang mengucap dua kalimah
syahadah adalah orang yang bera’kad dan berbai’ah seperti orang yang
berjualbeli. Mereka menyerahkan diri dan hartanya untuk mendapatkan keredaan
Allah Ta’ala disamping mengharapkan balasan syurga yang dijanjikan.
Firman Allah Ta’ala yang bererti:
“Sesungguhnya
Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta
benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan)
mereka berjuang pada jalan Allah, maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan
terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang
ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurah, Injil,dan al-Quran, dan
siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu,
bergembiralah dengan jalan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah
bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. Surah
at-Taubah: 111
Di dalam ayat yang tersebut dijelaskan
bahawa beriman dengan ciri-ciri akidah tauhid sebagai bai’ah untuk menjual diri
dan harta kepada Allah dengan nilai syurga. Oleh itu orang yang berpegang pada
akidah tauhid tidak akan rugi malahan mendapat keuntungan yang tidak terhingga
apabila ia memenuhi tuntutan bai’ah tersebut, iaitu jihad:
- Jihad fi Sabilillah iaitu jihad menentang musuh yang nyata.
- Jihad fillah iaitu jihad menentang musuh yang ghaib atau batin iaitu jihadun-nafsi (jihad menentang hawa nafsu).
Antara akidah tauhid dan jihad
terdapat satu lagi faktor utama untuk mencapai kejayaan dalam hidup di dunia
dan di akhirat iaitu hijrah. Jelasnya ada dua perkara yang menjadi faktor
ketahanan akidah iaitu hijrah dan jihad.
Firman Allah Ta’ala ertinya:
“Sesungguhnya
orang-orang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan
Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang
mengharapkan Rahmat Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani”. Surah al-Baqarah: 218
Sabda Rasulullah s.a.w ertinya:
“Orang berhijrah
ialah orang yang meninggalkan segala bentuk kejahatan dan orang berjihad ialah
orang yang memerangi hawa nafsunya”
(dipetik daripada
Bidayatul Hidayah oleh Imam Al-Ghazali)
hebat..semoga mendapat manfaat dari petikan ini...
BalasPadam